Ain melihat jam di tangan. Sudah hampir pukul 3.30 petang. Dia dan Zara
sudah berjanji untuk berjumpa di kafe Indah. Katanya ada hal penting
yang hendak diberitahu. Kelam kabut Ain dibuatnya bila Zara menelefon
dan memberitahu dia sudah berada di kafe tersebut. Ain tidak mahu Zara
menunggu lama.
Selepas berpusing-pusing mencari tempat letak kereta, akhirnya Ain jumpa
juga walaupun agak jauh dari pintu masuk kompleks membeli-belah itu.
Ain mempercepatkan langkah. Bila dia semakin hampir dengan pintu masuk,
ada sebuah kereta yang berdekatan dengannya. Ain mengambil kesempatan
itu untuk bercermin membetulkan tudung.
Selesai mengusai tudung, sempat Ain mengukirkan senyuman tanda puas hati
tudungnya sudah kemas. Tanpa menyedari, rupa-rupanya Hakimi berada di
dalam kereta tersebut. Melihatkan senyuman Ain, membuatkan dia rasa
rindu. Dia akui, Ain semakin cantik dan comel. Dengan cara pemakaiannya
yang serba menutupi, menyerlahkan lagi keayuannya.
Ain sudah pun berlalu pergi. Ingin saja dia mengejar Ain. Tapi mahukah
Ain melihat wajahnya? Dia harus memberi Ain masa. Dia tidak mahu
terburu-buru. Bimbang nanti kemarahan Ain pada dirinya bertambah-tambah
pula.
“Assalamualaikum ...” Ain memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Jawab Zara.
“Lama tunggu?”
“Taklah. Baru setengah jam aku dekat sini. Bukan lama pun.” Sindir Zara.
“Amboi, perli aku nampak.” Mereka sama-sama tertawa.
“Haa, ada apa kau ajak jumpa? Kata ada hal penting. Kenapa tak cakap
dalam telefon aje?” Beria-ria benar Zara mengajaknya keluar. Padahal,
boleh saja mereka bercerita melalui telefon.
“Cakap dalam telefon tak sama dengan cakap face to face. Actually, aku dah nak bertunang.”
Ain terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Zara. Bagai tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.
“Hah? Serius?”Ain bertanya lagi untuk kepastian.
Zara mengangguk kegembiraan.
“Dengan siapa?” Ain teruja untuk tahu dengan siapa Zara bakal berkongsi hidup nanti.
“Azman ...” Zara menjawab ringkas.
“Azman? Azman yang sama?” Setahu Ain, hanya ada seorang lelaki yang
bernama Azman dikenalinya. Azman dan Zara pernah menjadi pasangan
kekasih dulu. Cuma kisah cinta mereka tak kekal lama. Selepas mereka
putus, Azman terus menghilangkan diri.
“Ye Azman yang sama. Rupanya masa dia menghilang dulu, dia nak mendalami
ilmu agama. Terkejut aku bila dia tiba-tiba muncul depan pintu rumah
aku. Tak sangka dia nak merisik. Dan alhamdulillah, sekarang dia dah
bersedia nak jadi suami aku yang sah. Patutlah hati aku ni susah nak
terima orang lain. Dia kata lagi, perpisahan kami sentiasa menjadi
motivasi pada dia untuk terus memperbaiki diri.” Zara bercerita.
“Syukurlah Zara. Ada hikmahnya perpisahan korang dulu kan?”
“InsyaAllah kalau Azman jodoh aku, aku akan terima dia seadanya. Ain,
aku yakin. Apa yang pernah jadi pada kau, mesti ada hikmahnya juga. Kau
dengan Hakimi macamana sekarang?”
“Aku dengan Hakimi...” Belum sempat Ain menghabiskan kata-katanya,
matanya tertumpu pada seseorang. Hakimi! “Macamana dia boleh ada dekat
sini?” Soal Ain dalam hati.
Hakimi tersenyum sambil berjalan ke arah mereka. Zara menoleh untuk
melihat apa yang membuatkan perhatian Ain beralih daripadanya. Terkejut
juga dia melihat Hakimi. “Haa, tu jodoh kau dah sampai.” Usik Zara
dengan nada separuh berbisik. Ain menarik muka masam tanda tidak senang
dengan gurauan Zara.
“Assalamualaikum.” Hakimi memberi salam sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Zara.
“Waalaikumussalam.” Jawab Ain dan Zara serentak.
“Ain, tenangkan diri kau. Kawal perasaan dan jangan nak naik angin tak tentu pasal.” Bisik Ain dalam hatinya. Dia senyum.
“Eh, kenapa senyum-senyum ni Ain? Suka saya ada dekat sini eh?” Kata Hakimi.
Ain terkejut. Dia tidak menyangka Hakimi boleh perasan dia tersenyum.
“Baru nak tenangkan diri. Dah mula nak uji kesabaran aku.” Ngomel Ain dalam hati.
“Awak cakap sesuatu ke Ain?” Soal Hakimi.
Ain hanya menggeleng. Tak senang duduk Ain dibuatnya. Zara hanya
memerhatikan mereka sambil tersenyum. Mungkin benar Hakimi sudah
berubah. Bersungguh-sungguh dia cuba dekati Ain walaupun dia tahu
mungkin Ain tidak menyenangi kehadirannya di situ.
“Saya nak pergi toilet dulu.” Tiba-tiba Ain bersuara.
“Yang kau ni apa hal tiba-tiba datang sini?” Zara menyoal.
“Aku nak jumpa kawan aku. Tapi tak sangka pula boleh terserempak dengan
korang dekat sini. Kau ni pun satu. Kan aku dah kata. Kalau kau nak
jumpa Ain, bagitau aku. Kawan tak boleh haraplah kau ni Zara.” Bebel
Hakimi.
“Amboi, amboi. Sedapnya mulut kau cakap. Manalah aku ingat Hakimi oi.
Yang kau ni, sampai bila kau nak kejar si Ain tu?” Zara bukan mahu
mematahkan semangat Hakimi, tapi Zara sendiri boleh merasakan hati Ain
sudah terlalu keras untuk menerima Hakimi. Entahlah. Dia sendiri tidak
dapat meneka apa yang ada dalam hati sahabatnya itu.
“Sampai akhir hayat aku. Aku sayangkan dia Zara. Dia cinta pertama aku
dan akan jadi cinta terakhir aku. Susah aku nak cari pengganti dia.”
Luah Hakimi.
Terharu Zara mendengarnya. Alangkah baiknya jika Ain yang mendengar
semua ini. Hakimi sudah berubah. Sudah tiada kah peluang untuk Hakimi?
“Amboi korang. Rancaknya mengumpat pasal aku sampai aku datang pun tak
sedar ye. Haa Hakimi. Zara ni janganlah dikacau. Dia ni bakal jadi
isteri orang.” Ain memberi peringatan. Bukan dia tidak tahu tentang
Hakimi Mukhriz. Playboy! Kalau boleh, semua perempuan yang ada di dunia
ni dia nak.
“Seriously Zara?” Hakimi bertanya.
“Kenapa? Kau ingat aku ni tak laku ke?” Soal Zara dengan nada marah.
Hakimi ketawa.
“By the way, congratulation. So, kalau Zara aku tak boleh kacau. Mean,
Ain Azwani bolehlah kan? Single and available. Same like me.”
Terjengil mata Ain bila Hakimi menyebut namanya. Seronok benar Hakimi
mengusiknya hari ini. Tiba-tiba telefon bimbit Hakimi berbunyi.
“Waalaikumussalam. Sorry lah. Penat aku tunggu kau dalam kereta tadi. Aku pun keluarlah jalan-jalan.”
Ain dan Zara hanya diam mendengar perbualan Hakimi dengan seseorang melalui telefon.
“Aku dekat kafe Indah ni jumpa kawan-kawan lama. Okey aku tunggu kau dekat sini. Assalamualaikum.” Panggilan dimatikan.
“Maaf. Kawan call.” Kata Hakimi.
“Kawan ke girlfriend?” Sindir Ain sambil pura-pura menghirup minuman di hadapannya.
“Aik, kalau girlfriend pun kenapa? Jealous ke cik Ain Azwani?” Hakimi kembali mengusik.
Hampir tersembur air yang baru diteguk Ain.
“Eh, tak ada maknanya saya nak jealous encik Hakimi Mukhriz. Saya pun
bakal bertunang tak lama lagi. Jadi, tak ada sebab saya nak cemburu.”
Sakit hati Ain bila Hakimi mengusiknya begitu.
Hakimi tahu Ain tidak bercakap benar. Ain cuma sakit hati bila Hakimi menuduhnya cemburu.
“Kalau macam tu, nanti jangan lupa jemput saya ye. Teringin juga nak
tengok siapa yang dapat tackle buah hati saya ni.” Hakimi tersenyum
nakal. Suka dia melihat Ain bila dalam keadaan marah. Comel!
Ikhwan tercari-cari kelibat Hakimi. Katanya menunggu di kafe Indah tapi
batang hidungnya pun tidak kelihatan. Sedang matanya liar mencari
Hakimi, Ikhwan menangkap satu wajah dari dalam kafe Indah itu. Ain!
Ikhwan tersenyum. Tak sangka Allah mempertemukan mereka lagi.
“Laa, dekat sini rupanya kau Hakimi.” Ikhwan menepuk bahu Hakimi dari belakang kerana dia kenal benar cara Hakimi berpakaian.
“Eh, abang.” Zara menoleh ke belakang dan dia terkejut bila melihat abangnya berada di situ. Zara mencium tangan Ikhwan.
“Kau kenal Ikhwan ke Zara?” Soal Hakimi bila dia mendengar Zara memanggil Ikhwan dengan panggilan abang.
“Kau ni pekak ke? Dah si Zara ni panggil aku abang. Sah-sah lah kami kenal.” Ikhwan menyampuk.
“Amboi sedap bahasa panggil aku pekak. Aku saja nak kepastian. Kot-kot
kau ni abang sayang dia ke kan.” Hakimi berseloroh. Susah betul Ikhwan
dibawa bergurau. Sempat juga dia menjeling ke arah Ain.
Ain perasan Hakimi sedang melihat ke arahnya. Tapi dia pura-pura tidak
tahu. Disedut baki minuman yang ada. Ikhwan pula curi-curi memandang
Ain. Hatinya sejuk bila melihat ketenangan yang ada di wajah Ain. Dia
merasakan seolah-olah pencariannya sudah tamat. Jika selama ini dia
masih mencari-cari, kini dia merasakan bahawa apa yang dicarinya sudah
pun ditemui.
Tapi Ikhwan tidak mahu terburu-buru. Dia yakin pada ketentuan Allah.
Andai benar Ain diciptakan untuk dia, walau ditolak dengan apa cara
sekalipun mereka pasti akan tetap bersama.
Ain tidak sengaja terpandang Ikhwan. Pandangan mereka bertemu. Ikhwan
mengusik Ain dengan mengenyit mata padanya. Cepat-cepat Ain melarikan
pandangan. Dia mula tidak selesa dengan keadaan mereka sekarang. Ikutkan
hati, mahu saja dia pergi dari tempat itu.
Di sebelah sana Hakimi, di sebelah sini pula Ikhwan. Ain tahu Hakimi
sudah mulai berubah. Entahlah. Ain tidak dapat memastikan kerana
sejujurnya hatinya masih meragui Hakimi. Sudah lama dia memaafkan Hakimi
kerana dia juga tidak sanggup menahan beban membenci. Malahan dia
bersyukur. Andai saja dia tidak dipertemukan dengan Hakimi, dia pasti
tidak akan menjadi Ain yang sekarang.
“Kadangkala takdir kita hanya setakat dapat bertemu dan kenal, tapi
bukan berjodoh. Jadi, redha dan pasrah. Lepaskan saja dari hati. Kita
tidak sedar hati jadi lemah dan sakit sepanjang kita bercinta tanpa
ikatan yang halal. Maka, kembalilah bertaubat dan meraih cinta-Nya.”
No comments:
Post a Comment