It's just me...

It's just me...

Sunday, November 17, 2013

Cerpen : Izinkan Aku Mencintaimu (5)

Sudah masuk tiga hari Hakimi menyepi. Tiada panggilan mahu pun pesanan. Putus asa sudahkah dia? Entahlah. Ain malas hendak memikirkannya. Tapi entah kenapa bila Hakimi menyepi, Ain pula tercari-cari.

Di sebelah sana, Hakimi sedang duduk di atas sofa menonton televisyen. Tapi tiada satu siaran pun yang menarik perhatiannya. Fikirannya melayang hanya teringatkan Ain. Ikutkan hati, ingin saja dibawa lari anak orang itu. Tapi dia masih waras. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disukai Ain.

“Masih ingatkan kekasih lama lah tu.” Tiba-tiba Ikhwan datang menghampirinya.

“Nah!” Ikhwan menghulurkan mug berisi teh 3 in 1 yang baru dibelinya kelmarin.

“Thanks. Aku pun tak tahu lah Wan. Susah betul nak lupakan dia.” Luah Hakimi.

“Dah lah. Jangan difikirkan sangat masalah tu. Ingat, kita ada Allah. Mohonlah pada dia semoga ada jalan terbaik untuk kau berdua. Ni dah solat Asar belum ni?” Ikhwan menyoal bila matanya terlihat pada jam di dinding.

Hakimi menggeleng tanpa bersuara.

“Ni aku tak suka ni. Ingat kekasih boleh pula. Ish, kau ni. Macamana nak jaga anak dara orang kalau diri sendiri pun tak boleh nak jaga. Dah nak habis waktu ni. Pergi solat dulu.” Perintah Ikhwan berlagak seperti seorang bapa.

Dengan langkah yang longlai, Hakimi bangun dari sofa dan terus menuju ke bilik air untuk  mengambil wudhuk. Malas dia membantah. Kalau tidak, pasti  dia akan mendengar  ceramah percuma dari Ikhwan. Ikhwan memang pantang bila soal solat dilengah-lengahkan.

Selepas Hakimi hilang dari pandangan, tiba-tiba Ikhwan tersenyum sendiri. Dia teringat peristiwa di kompleks membeli-belah hari itu. Masih segar di wajahnya bila dia sengaja mahu mengusik kawan Zara dengan menghulurkan salam dan dapat dilihat air muka gadis itu berubah.

“Comel!” Tanpa disedari perkataan itu terkeluar dari mulutnya. Cepat-cepat dia melihat keadaan sekeliling bimbang ada orang lain yang mendengarnya. Bila dilihat tiada siapa-siapa, dia menarik nafas lega.

Suka dia mengusik gadis itu. Tiba-tiba baru Ikhwan teringat. Dia tidak tahu pun siapa namanya. “Aduhhh..” Keluhnya. Hendak ditanyakan pada Zara, malu pula. Nanti apa kata Zara. Tidak ditanya, dia pula yang tertanya sendiri nanti. Ah! Pedulilah.

Ikhwan menggapai telefon bimbitnya di atas meja. Selepas beberapa minit bercakap-cakap di telefon, Ikhwan mengukirkan senyuman. “Ain Azwani ..”

No comments:

Post a Comment

Design Experiment SPM Biology