“Apa? Habis tu mama terima?” Soal Ain.
“Mama belum bagi apa-apa kata putus lagi. Keputusan di tangan Ain. Ain
fikirlah baik-baik. Tapi, apa yang mama nampak. Budak tu baik.
Bersungguh dia nak jadikan Ain isteri dia.” Jelas puan Anita. Hatinya
yakin, jika Ain menerima lelaki tersebut. Ain pasti bahagia.
“Bagi Ain masa mama.”
Puan Anita faham. Dia juga mahukan yang terbaik buat Ain. Tapi dalam
masa yang sama, dia harus memberikan peluang pada Ain untuk membuat
keputusan. Kebahagiaan Ain adalah kebahagiaannya juga bersama encik
Kamarul, ayah kepada Ain.
Ain tidak tahu samada dia mahu menerima lamaran itu atau tidak. Tapi
menurut orang tuanya, lelaki itu bukan sahaja elok pada paras wajahnya
tapi juga elok dalam menjaga agamanya. Ciri-ciri itulah yang harus
diutamakan bila mencari pasangan hidup.
Telefon Ain tiba-tiba berdering. Tertera nama Zara sebagai pemanggil.
Hakimi berhasrat untuk jadikan Ain sebagai isterinya! Itulah yang
diceritakan oleh Zara. Sebenarnya Hakimi sudah menegah Zara untuk
memberitahu Ain tentang hal itu. Tapi Zara terlalu teruja. Dia tidak
sangka Hakimi boleh bertindak sedemikian rupa. Mungkin itulah bukti
kesungguhannya pada Ain.
“Kau terima ajelah. Aku tahu Hakimi pernah buat salah. Tapi aku yakin
Ain. Setiap apa yang berlaku tu, pasti ada hikmahnya. Mungkin kali ini
Hakimi sudah benar-benar berubah. Kau kena bagi peluang pada dia.”
Ain menarik nafas panjang. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Zara.
Cerita yang lalu telah pun berlalu. Manusia takkan pernah lari dari
membuat kesilapan. Dia redha menerima segala ketentuan dari Allah.
Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Hati Ain berdebar-debar. Ain
sudah pun menerima lamaran itu. Mama dan papanya lah orang yang paling
gembira. Melihatkan mereka berdua, akhirnya Ain menerima bahawa itulah
yang terbaik buat dirinya. Kegembiraan kedua orang tuanya lebih penting
dari segala-galanya.
“Aku terima nikahnya Ain Azwani binti Kamarul …”
Ain terkejut. Itu bukan suara Hakimi Mukhriz. Hati Ain berdebar-debar.
“Ya Allah, kau tenangkanlah hatiku ini.” Ain berdoa dalam hati. Dia tidak dapat mengawal perasaannya kali ini.
Dan bila pengantin lelaki bangkit untuk menyarungkan cincin di jari
pengantin perempuan, Ain terkejut. Dia hampir pengsan. Ikhwan! Apa dah
jadi? Mana Hakimi?
Ain menghulurkan salam lalu mengucup tangan lelaki yang baru sahaja
menjadi suaminya. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Air mata Ain
merembes keluar. Apakah ini yang ditakdirkan buatnya? Benarkah Ikhwan
suaminya dan bukan Hakimi?
Semuanya sudah selesai. Ain pula sudah berada di bilik lebih awal dari
Ikhwan. Ain tidak tahu Ikhwan di mana. Mungkin masih sibuk melayan
keluarga di bawah. Ain belum solat Isyak. Selesai mengambil wudhu, Ain
membentangkan sejadah. Tiba-tiba pintu bilik dikuak. Ain terkejut bila
melihat Ikhwan di pintu berbaju Melayu lengkap bersongkok.
Ikhwan melemparkan senyuman yang manis. Niatnya juga masuk ke bilik itu untuk mengajak Ain solat Isyak berjemaah dengannya.
“Boleh abang imamkan?”
Ain membalas dengan senyuman. Entah kenapa, tiba-tiba hatinya tenang bila melihat wajah Ikhwan.
“Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Kau ampunkanlah segala
dosa-dosaku dan dosa-dosa isteriku. Berikanlah kebahagiaan dalam
rumahtangga kami. Kau bukakanlah pintu hati kami untuk mencintai satu
sama lain. Kukuhkanlah kesetiaan kami. Kami memohon perlindungan dari Mu
ya Allah. Amin …”
Mendengarkan setiap butir kata-kata yang keluar dari mulut Ikhwan
membuatkan hati Ain menjadi sayu. Dia sedar kini. Hakimi hanyalah masa
silamnya dan Ikhwan lah yang lebih layak menerima cintanya.
Ikhwan memalingkan badan. Dia menghulurkan tangan pada Ain. Ain
menyambutnya. Dikecup tangan lelaki yang baru siang tadi menjadi
suaminya. Ain menerima segalanya dengan redha. Antara dia dan Hakimi
memang tiada jodoh. Dia sudah lama menerimanya. Tapi langsung tidak
terlintas di fikirannya bahawa Ikhwan sudi memperisterikannya. Dia
mengaku, sejak pertama kali melihat Ikhwan hatinya sudah terpaut. Cuma
dia tidak mahu mengakuinya. Bagi Ain, dia hanya menantikan lelaki yang
sah menjadi miliknya. Ternyata, Ikhwan lelaki tersebut. Dia tidak sangka
begini hebat Allah merancang semuanya.
“Ain, terima kasih sebab sudi terima abang sebagai suami Ain.” Ain tunduk mendengar kata-kata Ikhwan.
“Abang bahagia sebab Allah makbulkan doa abang untuk jadikan Ain sebagai
isteri. Abang jatuh cinta sejak pertama kali bertemu Ain. Tapi abang
diamkan sebab abang tunggu waktu yang sesuai. Abang dah siap sedia
kalau-kalau Ain tolak pinangan abang hari tu. Maaf tak bagitau Ain
awal-awal. Ain …” Ikhwan menyentuh lembut pipi Ain. Ada air jernih yang
mengalir.
“Kenapa menangis ni sayang? Ain tak terima abang ke?” Soal Ikhwan. Risau juga dia kalau-kalau Ain menerimanya secara terpaksa.
Ain memang tidak menyangka Ikhwan yang datang meminang kerana semuanya
berlaku dalam sekelip mata. Yang Ain tahu, ada lamaran untuknya.
Kemudian dia mendapat tahu dari Zara bahawa Hakimi ingin
memperisterikannya. Ain sedar, lamaran yang diterima tempohari bukanlah
kerana Hakimi. Tapi lebih kepada gerak hati dari Allah yang ringan untuk
menerima lamaran tersebut. Ternyata, apa yang berlaku memang ada
hikmahnya.
Ain menggeleng. “Ain tak sangka abang boleh pilih Ain. Berjuta wanita di
dunia ni, Ain juga jadi pilihan abang kan. Terima kasih juga sebab sudi
terima Ain untuk jadi isteri abang. Semua ni takkan berlaku kalau bukan
kerana izin Allah.”
Lega hati Ikhwan bila mendengar kata-kata Ain. Lantas mata mereka
bertentangan. Perlahan-lahan dia menyeka air mata di pipi Ain lalu
mengucup lembut dahi isterinya dengan penuh kasih sayang. Tidak akan
dipersiakan anugerah dari Allah yang satu ini. Senyuman penuh bahagia
terukir di bibir mungil Ain.
Hakimi sudah jauh membawa diri. Selepas Ikhwan memberitahu bahawa dia
ingin menyunting Ain menjadi isterinya, Hakimi tersentak! Rupa-rupanya
Ikhwan sudah lama menyimpan perasaan terhadap Ain. Kini dia yakin akan
kata-kata yang selalu didengarnya dari Ikhwan.
“Walau kita berusaha sekuat mana pun untuk dapatkannya, tapi ia bukan
milik kita. Ianya tetap takkan menjadi milik kita. Dan walau kita tolak
ke tepi macamana sekali pun, andai ia milik kita. Ianya tetap akan
menjadi milik kita jua.”
Dia sudah berusaha mendapatkan Ain tapi takdir tidak menyebelahi mereka.
Hakimi redha. Ain bukan miliknya. Tapi Ikhwan. Dan Ikhwan memang lebih
layak menjaga Ain berbanding dirinya. Dia yakin itu. Banyak perkara lagi
yang harus dilakukan Hakimi. Dia ingin berubah. Berubah agar dia lebih
bersedia untuk menerima cinta yang akan datang.
“Hakimi, saya dah lama maafkan awak. Apa yang pernah terjadi antara
kita, hanyalah ujian buat kita untuk mengenal siapa cinta sejati kita.
Saya tahu awak boleh berubah. Tapi biarlah perubahan awak tu kerana
Allah. Bukan kerana saya. Semoga Allah membuka pintu hati awak dan
menghadiahkan seseorang yang lebih baik dari saya..”
#copypaste#
No comments:
Post a Comment