It's just me...

It's just me...

Sunday, November 17, 2013

Cerpen : Izinkan Aku Mencintaimu (8)

“Apa? Habis tu mama terima?” Soal Ain.

“Mama belum bagi apa-apa kata putus lagi. Keputusan di tangan Ain. Ain fikirlah baik-baik. Tapi, apa yang mama nampak. Budak tu baik. Bersungguh dia nak jadikan Ain isteri dia.” Jelas puan Anita. Hatinya yakin, jika Ain menerima lelaki tersebut. Ain pasti bahagia.

“Bagi Ain masa mama.”

Puan Anita faham. Dia juga mahukan yang terbaik buat Ain. Tapi dalam masa yang sama, dia harus memberikan peluang pada Ain untuk membuat keputusan. Kebahagiaan Ain adalah kebahagiaannya juga bersama encik Kamarul, ayah kepada Ain.

Ain tidak tahu samada dia mahu menerima lamaran itu atau tidak. Tapi menurut orang tuanya, lelaki itu bukan sahaja elok pada paras wajahnya tapi juga elok dalam menjaga agamanya. Ciri-ciri itulah yang harus diutamakan bila mencari pasangan hidup.

Telefon Ain tiba-tiba berdering. Tertera nama Zara sebagai pemanggil.

Hakimi berhasrat untuk jadikan Ain sebagai isterinya! Itulah yang diceritakan oleh Zara. Sebenarnya Hakimi sudah menegah Zara untuk memberitahu Ain tentang hal itu. Tapi Zara terlalu teruja. Dia tidak sangka Hakimi boleh bertindak sedemikian rupa. Mungkin itulah bukti kesungguhannya pada Ain.

“Kau terima ajelah. Aku tahu Hakimi pernah buat salah. Tapi aku yakin Ain. Setiap apa yang berlaku tu, pasti ada hikmahnya. Mungkin kali ini Hakimi sudah benar-benar berubah. Kau kena bagi peluang pada dia.”

Ain menarik nafas panjang. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Zara. Cerita yang lalu telah pun berlalu. Manusia takkan pernah lari dari membuat kesilapan. Dia redha menerima segala ketentuan dari Allah.

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Hati Ain berdebar-debar. Ain sudah pun menerima lamaran itu. Mama dan papanya lah orang yang paling gembira. Melihatkan mereka berdua, akhirnya Ain menerima bahawa itulah yang terbaik buat dirinya. Kegembiraan kedua orang tuanya lebih penting dari segala-galanya.

“Aku terima nikahnya Ain Azwani binti Kamarul …”

Ain terkejut. Itu bukan suara Hakimi Mukhriz. Hati Ain berdebar-debar.

“Ya Allah, kau tenangkanlah hatiku ini.” Ain berdoa dalam hati. Dia tidak dapat mengawal perasaannya kali ini.

Dan bila pengantin lelaki bangkit untuk menyarungkan cincin di jari pengantin perempuan, Ain terkejut. Dia hampir pengsan. Ikhwan! Apa dah jadi? Mana Hakimi?

Ain menghulurkan salam lalu mengucup tangan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Air mata Ain merembes keluar. Apakah ini yang ditakdirkan buatnya? Benarkah Ikhwan suaminya dan bukan Hakimi?

Semuanya sudah selesai. Ain pula sudah berada di bilik lebih awal dari Ikhwan. Ain tidak tahu Ikhwan di mana. Mungkin masih sibuk melayan keluarga di bawah. Ain belum solat Isyak. Selesai mengambil wudhu, Ain membentangkan sejadah. Tiba-tiba pintu bilik dikuak. Ain terkejut bila melihat Ikhwan di pintu berbaju Melayu lengkap bersongkok.

Ikhwan melemparkan senyuman yang manis. Niatnya juga masuk ke bilik itu untuk mengajak Ain solat Isyak berjemaah dengannya.

“Boleh abang imamkan?”

Ain membalas dengan senyuman. Entah kenapa, tiba-tiba hatinya tenang bila melihat wajah Ikhwan.

“Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku dan dosa-dosa isteriku. Berikanlah kebahagiaan dalam rumahtangga kami. Kau bukakanlah pintu hati kami untuk mencintai satu sama lain. Kukuhkanlah kesetiaan kami. Kami memohon perlindungan dari Mu ya Allah. Amin …”

Mendengarkan setiap butir kata-kata yang keluar dari mulut Ikhwan membuatkan hati Ain menjadi sayu. Dia sedar kini. Hakimi hanyalah masa silamnya dan Ikhwan lah yang lebih layak menerima cintanya.

Ikhwan memalingkan badan. Dia menghulurkan tangan pada Ain. Ain menyambutnya. Dikecup tangan lelaki yang baru siang tadi menjadi suaminya. Ain menerima segalanya dengan redha. Antara dia dan Hakimi memang tiada jodoh. Dia sudah lama menerimanya. Tapi langsung tidak terlintas di fikirannya bahawa Ikhwan sudi memperisterikannya. Dia mengaku, sejak pertama kali melihat Ikhwan hatinya sudah terpaut. Cuma dia tidak mahu mengakuinya. Bagi Ain, dia hanya menantikan lelaki yang sah menjadi miliknya. Ternyata, Ikhwan lelaki tersebut. Dia tidak sangka begini hebat Allah merancang semuanya.

“Ain, terima kasih sebab sudi terima abang sebagai suami Ain.” Ain tunduk mendengar kata-kata Ikhwan.

“Abang bahagia sebab Allah makbulkan doa abang untuk jadikan Ain sebagai isteri. Abang jatuh cinta sejak pertama kali bertemu Ain. Tapi abang diamkan sebab abang tunggu waktu yang sesuai. Abang dah siap sedia kalau-kalau Ain tolak pinangan abang hari tu. Maaf tak bagitau Ain awal-awal. Ain …” Ikhwan menyentuh lembut pipi Ain. Ada air jernih yang mengalir.

“Kenapa menangis ni sayang? Ain tak terima abang ke?” Soal Ikhwan. Risau juga dia kalau-kalau Ain menerimanya secara terpaksa.

Ain memang tidak menyangka Ikhwan yang datang meminang kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata. Yang Ain tahu, ada lamaran untuknya. Kemudian dia mendapat tahu dari Zara bahawa Hakimi ingin memperisterikannya. Ain sedar, lamaran yang diterima tempohari bukanlah kerana Hakimi. Tapi lebih kepada gerak hati dari Allah yang ringan untuk menerima lamaran tersebut. Ternyata, apa yang berlaku memang ada hikmahnya.

Ain menggeleng. “Ain tak sangka abang boleh pilih Ain. Berjuta wanita di dunia ni, Ain juga jadi pilihan abang kan. Terima kasih juga sebab sudi terima Ain untuk jadi isteri abang. Semua ni takkan berlaku kalau bukan kerana izin Allah.”

Lega hati Ikhwan bila mendengar kata-kata Ain. Lantas mata mereka bertentangan. Perlahan-lahan dia menyeka air mata di pipi Ain lalu mengucup lembut dahi isterinya dengan penuh kasih sayang. Tidak akan dipersiakan anugerah dari Allah yang satu ini. Senyuman penuh bahagia terukir di bibir mungil Ain.

Hakimi sudah jauh membawa diri. Selepas Ikhwan memberitahu bahawa dia ingin menyunting Ain menjadi isterinya, Hakimi tersentak! Rupa-rupanya Ikhwan sudah lama menyimpan perasaan terhadap Ain. Kini dia yakin akan kata-kata yang selalu didengarnya dari Ikhwan.

“Walau kita berusaha sekuat mana pun untuk dapatkannya, tapi ia bukan milik kita. Ianya tetap takkan menjadi milik kita. Dan walau kita tolak ke tepi macamana sekali pun, andai ia milik kita. Ianya tetap akan menjadi milik kita jua.”

Dia sudah berusaha mendapatkan Ain tapi takdir tidak menyebelahi mereka. Hakimi redha. Ain bukan miliknya. Tapi Ikhwan. Dan Ikhwan memang lebih layak menjaga Ain berbanding dirinya. Dia yakin itu. Banyak perkara lagi yang harus dilakukan Hakimi. Dia ingin berubah. Berubah agar dia lebih bersedia untuk menerima cinta yang akan datang.

“Hakimi, saya dah lama maafkan awak. Apa yang pernah terjadi antara kita, hanyalah ujian buat kita untuk mengenal siapa cinta sejati kita. Saya tahu awak boleh berubah. Tapi biarlah perubahan awak tu kerana Allah. Bukan kerana saya. Semoga Allah membuka pintu hati awak dan menghadiahkan seseorang yang lebih baik dari saya..”

#copypaste# 

Cerpen : Izinkan Aku Mencintaimu (7)

“Termenung jauh nampak.” Ikhwan mematikan lamunan Hakimi. Dia menarik kerusi di hadapan Hakimi.

“Eh tak adalah.” Hakimi menafikan.

Hakimi membuang pandangan jauh ke luar. Tenang sahaja dirasakan sama seperti bila dia melihat wajah Ain. Masih marahkah dia?

“Aku dah buat keputusan Ikhwan. Aku nak hantar rombongan masuk meminang!”

“Wah! Baguslah tu. Cepat-cepatlah kau hantar. Nanti dia kena kebas dengan orang lain baru padan muka.” Ikhwan berseloroh.

“Tu lah masalahnya. Aku risau dia tolak lamaran tu. Kan aku pernah kecewakan dia dulu.” Ujar Hakimi.

“Laa, ni nak melamar kekasih lama ke ni?” Soal Ikhwan untuk mendapatkan kepastian. Kerana selama ini tiada pun nama-nama perempuan yang meniti di bibirnya selain “kekasih lamanya” itu.

Hakimi mengangguk.

“Kau ni kan. Belum lagi cuba dah awal-awal mengalah. Kita kan ada Allah. Kau mohonlah pada Dia semoga pintu hati kekasih lama kau tu terbuka sikit untuk terima kau. InsyaAllah Kimi. Kalau kau berdua memang dah ditakdirkan untuk bersama, payah macamana sekalipun kau berdua tetap akan bersama. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.”

Hakimi nekad. Mungkin ini sajalah caranya.

Cerpen : Izinkan Aku Mencintaimu (6)

Ain melihat jam di tangan. Sudah hampir pukul 3.30 petang. Dia dan Zara sudah berjanji untuk berjumpa di kafe Indah. Katanya ada hal penting yang hendak diberitahu. Kelam kabut Ain dibuatnya bila Zara menelefon dan memberitahu dia sudah berada di kafe tersebut. Ain tidak mahu Zara menunggu lama.

Selepas berpusing-pusing mencari tempat letak kereta, akhirnya Ain jumpa juga walaupun agak jauh dari pintu masuk kompleks membeli-belah itu. Ain mempercepatkan langkah. Bila dia semakin hampir dengan pintu masuk, ada sebuah kereta yang berdekatan dengannya. Ain mengambil kesempatan itu untuk bercermin membetulkan tudung.

Selesai mengusai tudung, sempat Ain mengukirkan senyuman tanda puas hati tudungnya sudah kemas. Tanpa menyedari, rupa-rupanya Hakimi berada di dalam kereta tersebut. Melihatkan senyuman Ain, membuatkan dia rasa rindu. Dia akui, Ain semakin cantik dan comel. Dengan cara pemakaiannya yang serba menutupi, menyerlahkan lagi keayuannya.

Ain sudah pun berlalu pergi. Ingin saja dia mengejar Ain. Tapi mahukah Ain melihat wajahnya? Dia harus memberi Ain masa. Dia tidak mahu terburu-buru. Bimbang nanti kemarahan Ain pada dirinya bertambah-tambah pula.

“Assalamualaikum ...” Ain memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Jawab Zara.

“Lama tunggu?”

“Taklah. Baru setengah jam aku dekat sini. Bukan lama pun.” Sindir Zara.

“Amboi, perli aku nampak.” Mereka sama-sama tertawa.

“Haa, ada apa kau ajak jumpa? Kata ada hal penting. Kenapa tak cakap dalam telefon aje?” Beria-ria benar Zara mengajaknya keluar. Padahal, boleh saja mereka bercerita melalui telefon.

“Cakap dalam telefon tak sama dengan cakap face to face. Actually, aku dah nak bertunang.”

Ain terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Zara. Bagai tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.

“Hah? Serius?”Ain bertanya lagi untuk kepastian.

Zara mengangguk kegembiraan.

“Dengan siapa?” Ain teruja untuk tahu dengan siapa Zara bakal berkongsi hidup nanti.

“Azman ...” Zara menjawab ringkas.

“Azman? Azman yang sama?” Setahu Ain, hanya ada seorang lelaki yang bernama Azman dikenalinya. Azman dan Zara pernah menjadi pasangan kekasih dulu. Cuma kisah cinta mereka tak kekal lama. Selepas mereka putus, Azman terus menghilangkan diri.

“Ye Azman yang sama. Rupanya masa dia menghilang dulu, dia nak mendalami ilmu agama. Terkejut aku bila dia tiba-tiba muncul depan pintu rumah aku. Tak sangka dia nak merisik. Dan alhamdulillah, sekarang dia dah bersedia nak jadi suami aku yang sah. Patutlah hati aku ni susah nak terima orang lain. Dia kata lagi, perpisahan kami sentiasa menjadi motivasi pada dia untuk terus memperbaiki diri.” Zara bercerita.

“Syukurlah Zara. Ada hikmahnya perpisahan korang dulu kan?”

“InsyaAllah kalau Azman jodoh aku, aku akan terima dia seadanya. Ain, aku yakin. Apa yang pernah jadi pada kau, mesti ada hikmahnya juga. Kau dengan Hakimi macamana sekarang?”

“Aku dengan Hakimi...” Belum sempat Ain menghabiskan kata-katanya, matanya tertumpu pada seseorang. Hakimi! “Macamana dia boleh ada dekat sini?” Soal Ain dalam hati.

Hakimi tersenyum sambil berjalan ke arah mereka. Zara menoleh untuk melihat apa yang membuatkan perhatian Ain beralih daripadanya. Terkejut juga dia melihat Hakimi. “Haa, tu jodoh kau dah sampai.” Usik Zara dengan nada separuh berbisik. Ain menarik muka masam tanda tidak senang dengan gurauan Zara.

“Assalamualaikum.” Hakimi memberi salam sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Zara.

“Waalaikumussalam.” Jawab Ain dan Zara serentak.

“Ain, tenangkan diri kau. Kawal perasaan dan jangan nak naik angin tak tentu pasal.” Bisik Ain dalam hatinya. Dia senyum.

“Eh, kenapa senyum-senyum ni Ain? Suka saya ada dekat sini eh?” Kata Hakimi.

Ain terkejut. Dia tidak menyangka Hakimi boleh perasan dia tersenyum.

“Baru nak tenangkan diri. Dah mula nak uji kesabaran aku.” Ngomel Ain dalam hati.

“Awak cakap sesuatu ke Ain?” Soal Hakimi.

Ain hanya menggeleng. Tak senang duduk Ain dibuatnya. Zara hanya memerhatikan mereka sambil tersenyum. Mungkin benar Hakimi sudah berubah. Bersungguh-sungguh dia cuba dekati Ain walaupun dia tahu mungkin Ain tidak menyenangi kehadirannya di situ.

“Saya nak pergi toilet dulu.” Tiba-tiba Ain bersuara.

“Yang kau ni apa hal tiba-tiba datang sini?” Zara menyoal.

“Aku nak jumpa kawan aku. Tapi tak sangka pula boleh terserempak dengan korang dekat sini. Kau ni pun satu. Kan aku dah kata. Kalau kau nak jumpa Ain, bagitau aku. Kawan tak boleh haraplah kau ni Zara.” Bebel Hakimi.

“Amboi, amboi. Sedapnya mulut kau cakap. Manalah aku ingat Hakimi oi. Yang kau ni, sampai bila kau nak kejar si Ain tu?” Zara bukan mahu mematahkan semangat Hakimi, tapi Zara sendiri boleh merasakan hati Ain sudah terlalu keras untuk menerima Hakimi. Entahlah. Dia sendiri tidak dapat meneka apa yang ada dalam hati sahabatnya itu.

“Sampai akhir hayat aku. Aku sayangkan dia Zara. Dia cinta pertama aku dan akan jadi cinta terakhir aku. Susah aku nak cari pengganti dia.” Luah Hakimi.

Terharu Zara mendengarnya. Alangkah baiknya jika Ain yang mendengar semua ini. Hakimi sudah berubah. Sudah tiada kah peluang untuk Hakimi?

“Amboi korang. Rancaknya mengumpat pasal aku sampai aku datang pun tak sedar ye. Haa Hakimi.  Zara ni janganlah dikacau. Dia ni bakal jadi isteri orang.” Ain memberi peringatan. Bukan dia tidak tahu tentang Hakimi Mukhriz. Playboy! Kalau boleh, semua perempuan yang ada di dunia ni dia nak.

“Seriously Zara?” Hakimi bertanya.

“Kenapa? Kau ingat aku ni tak laku ke?” Soal Zara dengan nada marah.

Hakimi ketawa.

“By the way, congratulation. So, kalau Zara aku tak boleh kacau. Mean, Ain Azwani bolehlah kan? Single and available. Same like me.”

Terjengil mata Ain bila Hakimi menyebut namanya. Seronok benar Hakimi mengusiknya hari ini. Tiba-tiba telefon bimbit Hakimi berbunyi.

“Waalaikumussalam. Sorry lah. Penat aku tunggu kau dalam kereta tadi. Aku pun  keluarlah jalan-jalan.”

Ain dan Zara hanya diam mendengar perbualan Hakimi dengan seseorang melalui telefon.

“Aku dekat kafe Indah ni jumpa kawan-kawan lama. Okey aku tunggu kau dekat sini. Assalamualaikum.” Panggilan dimatikan.

“Maaf. Kawan call.”  Kata Hakimi.

“Kawan ke girlfriend?” Sindir Ain sambil pura-pura menghirup minuman di hadapannya.

“Aik, kalau girlfriend pun kenapa? Jealous ke cik Ain Azwani?” Hakimi kembali mengusik.

Hampir tersembur air yang baru diteguk Ain.

“Eh, tak ada maknanya saya nak jealous encik Hakimi Mukhriz. Saya pun bakal bertunang tak lama lagi. Jadi, tak ada sebab saya nak cemburu.” Sakit hati Ain bila Hakimi mengusiknya begitu.

Hakimi tahu Ain tidak bercakap benar. Ain cuma sakit hati bila Hakimi menuduhnya cemburu.

“Kalau macam tu, nanti  jangan lupa jemput saya ye. Teringin juga nak tengok siapa yang dapat tackle buah hati saya ni.” Hakimi tersenyum nakal. Suka dia melihat Ain bila dalam keadaan marah. Comel!

Ikhwan tercari-cari kelibat Hakimi. Katanya menunggu di kafe Indah tapi batang hidungnya pun tidak kelihatan. Sedang matanya liar mencari Hakimi, Ikhwan menangkap satu wajah dari dalam kafe Indah itu. Ain! Ikhwan tersenyum. Tak sangka Allah mempertemukan mereka lagi.

“Laa, dekat sini rupanya kau Hakimi.” Ikhwan menepuk bahu Hakimi dari belakang kerana dia kenal benar cara Hakimi berpakaian.

“Eh, abang.” Zara menoleh ke belakang dan dia terkejut bila melihat abangnya berada di situ. Zara mencium tangan Ikhwan.

“Kau kenal Ikhwan ke Zara?” Soal Hakimi bila dia mendengar Zara memanggil Ikhwan dengan panggilan abang.

“Kau ni pekak ke? Dah si Zara ni panggil aku abang. Sah-sah lah kami kenal.” Ikhwan menyampuk.

“Amboi sedap bahasa panggil aku pekak. Aku saja nak kepastian. Kot-kot kau ni abang sayang dia ke kan.” Hakimi berseloroh. Susah betul Ikhwan dibawa bergurau. Sempat juga dia menjeling ke arah Ain.

Ain perasan Hakimi sedang melihat ke arahnya. Tapi dia pura-pura tidak tahu. Disedut baki minuman yang ada. Ikhwan pula curi-curi memandang Ain. Hatinya sejuk bila melihat ketenangan yang ada di wajah Ain. Dia merasakan seolah-olah pencariannya sudah tamat. Jika selama ini dia masih mencari-cari, kini dia merasakan bahawa apa yang dicarinya sudah pun ditemui.

Tapi Ikhwan tidak mahu terburu-buru. Dia yakin pada ketentuan Allah. Andai benar Ain diciptakan untuk dia, walau ditolak dengan apa cara sekalipun mereka pasti akan tetap bersama.

Ain tidak sengaja terpandang Ikhwan. Pandangan mereka bertemu. Ikhwan mengusik Ain dengan mengenyit mata padanya. Cepat-cepat Ain melarikan pandangan. Dia mula tidak selesa dengan keadaan mereka sekarang. Ikutkan hati, mahu saja dia pergi dari tempat itu.

Di sebelah sana Hakimi, di sebelah sini pula Ikhwan. Ain tahu Hakimi sudah mulai berubah. Entahlah. Ain tidak dapat memastikan kerana sejujurnya hatinya masih meragui Hakimi. Sudah lama dia memaafkan Hakimi kerana dia juga tidak sanggup menahan beban membenci. Malahan dia bersyukur. Andai saja dia tidak dipertemukan dengan Hakimi, dia pasti tidak akan menjadi Ain yang sekarang.

“Kadangkala takdir kita hanya setakat dapat bertemu dan kenal, tapi bukan berjodoh. Jadi, redha dan pasrah. Lepaskan saja dari hati. Kita tidak sedar hati jadi lemah dan sakit sepanjang kita bercinta tanpa ikatan yang halal. Maka, kembalilah bertaubat dan meraih cinta-Nya.”

Cerpen : Izinkan Aku Mencintaimu (5)

Sudah masuk tiga hari Hakimi menyepi. Tiada panggilan mahu pun pesanan. Putus asa sudahkah dia? Entahlah. Ain malas hendak memikirkannya. Tapi entah kenapa bila Hakimi menyepi, Ain pula tercari-cari.

Di sebelah sana, Hakimi sedang duduk di atas sofa menonton televisyen. Tapi tiada satu siaran pun yang menarik perhatiannya. Fikirannya melayang hanya teringatkan Ain. Ikutkan hati, ingin saja dibawa lari anak orang itu. Tapi dia masih waras. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disukai Ain.

“Masih ingatkan kekasih lama lah tu.” Tiba-tiba Ikhwan datang menghampirinya.

“Nah!” Ikhwan menghulurkan mug berisi teh 3 in 1 yang baru dibelinya kelmarin.

“Thanks. Aku pun tak tahu lah Wan. Susah betul nak lupakan dia.” Luah Hakimi.

“Dah lah. Jangan difikirkan sangat masalah tu. Ingat, kita ada Allah. Mohonlah pada dia semoga ada jalan terbaik untuk kau berdua. Ni dah solat Asar belum ni?” Ikhwan menyoal bila matanya terlihat pada jam di dinding.

Hakimi menggeleng tanpa bersuara.

“Ni aku tak suka ni. Ingat kekasih boleh pula. Ish, kau ni. Macamana nak jaga anak dara orang kalau diri sendiri pun tak boleh nak jaga. Dah nak habis waktu ni. Pergi solat dulu.” Perintah Ikhwan berlagak seperti seorang bapa.

Dengan langkah yang longlai, Hakimi bangun dari sofa dan terus menuju ke bilik air untuk  mengambil wudhuk. Malas dia membantah. Kalau tidak, pasti  dia akan mendengar  ceramah percuma dari Ikhwan. Ikhwan memang pantang bila soal solat dilengah-lengahkan.

Selepas Hakimi hilang dari pandangan, tiba-tiba Ikhwan tersenyum sendiri. Dia teringat peristiwa di kompleks membeli-belah hari itu. Masih segar di wajahnya bila dia sengaja mahu mengusik kawan Zara dengan menghulurkan salam dan dapat dilihat air muka gadis itu berubah.

“Comel!” Tanpa disedari perkataan itu terkeluar dari mulutnya. Cepat-cepat dia melihat keadaan sekeliling bimbang ada orang lain yang mendengarnya. Bila dilihat tiada siapa-siapa, dia menarik nafas lega.

Suka dia mengusik gadis itu. Tiba-tiba baru Ikhwan teringat. Dia tidak tahu pun siapa namanya. “Aduhhh..” Keluhnya. Hendak ditanyakan pada Zara, malu pula. Nanti apa kata Zara. Tidak ditanya, dia pula yang tertanya sendiri nanti. Ah! Pedulilah.

Ikhwan menggapai telefon bimbitnya di atas meja. Selepas beberapa minit bercakap-cakap di telefon, Ikhwan mengukirkan senyuman. “Ain Azwani ..”

Cerpen : Izinkan Aku Mencintaimu (4)

Ain cuba mencari kelibat Zara. Tapi tidak kelihatan. Mereka sudah berjanji untuk berjumpa di kompleks membeli-belah.

“Oi mak cik...”

Terkejut Ain bila ada seseorang yang menyapa bahunya dari belakang.

“Ya Allah Zara. Kot ye pun bagilah salam. Main sergah aje. Terkejut aku tau tak. Kalau kena heart attack macamana? Aku belum kahwin lagi tau.” Ngomel Ain.

Zara hanya tersenyum. “Aik, dah terima Hakimi ke tiba-tiba cakap pasal kahwin ni?” Zara mengusik.

“Ehemmm ...” Belum sempat Ain membuka mulut, kedengaran suara seseorang sedang berdehem dari belakang Ain. Dia menoleh.

Zara terlupa tentang Ikhwan.

“E'eh. Aku lupa. Ini abang aku, Ikhwan.” Zara memperkenalkan.

“Handsome!” Bisik Ain nakal dalam hati.

“Hi.” Ucap Ikhwan sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Ain.

Ain terkejut. Tapi dia cuba untuk tidak menunjukkan reaksi wajah terkejutnya itu. Ain hanya membuat isyarat untuk tidak bersalaman.

Zara juga terkejut dengan perlakuan Ikhwan. Tidak pernah dia melihat Ikhwan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mana-mana perempuan. Buang tabiatkah dia?

“Nice to meet you. But sorry girls. I need to go. See you later okay.”

Sekejap sahaja Ikhwan sudah hilang dari pandangan.

“Abang kau tu baru balik dari oversea ke Zara? Bukan main speaking lagi. Siap hulur tangan bagai lagi.” Tanya Ain. Bukan apa. Takkan dia tak tahu batas dia dengan seorang perempuan dewasa yang tak ada ikatan sah dengan dia? Tak bagi salam pula tu bila nak pergi.

“Ish, taklah Ain. Dia datang hantar aku je. Sebelum ni dia kerja dekat Sabah. Tu pun baru aje dia balik dua hari lepas. Kebetulan pula tadi dia memang nak datang sini beli barang katanya. So, aku join sekali lah. Lagipun kereta aku tidur dekat bengkel. Tapi kan Ain, aku pun pelik juga dengan perangai dia hari ni. Semacam aje. Sorry lah dengan perbuatan dia tadi tu eh.”  Zara memohon maaf. Dia sendiri tidak  tahu apa yang merasuk abangnya tadi sehingga berkelakuan lain dari yang biasa.

“Takpelah. Lain kali dia buat lagi, aku direct sound dia. Biar padan muka. Jom kita gerak. Aku dah lapar ni.”

Design Experiment SPM Biology