Ain menangis teresak-esak. Sakit hatinya. Betul apa yang dikatakan Zara. Hakimi sedang berbahagia di sana. Buktinya, mereka menjadikan gambar mereka berdua yang sedang berkepit sebagai gambar profil di akaun facebook masing-masing. Selama ini Ain sengaja blok mereka di dalam facebook. Ain takut untuk menanggung sakit di hati. Tapi, dalam masa yang sama. Hatinya meronta-ronta untuk melihat apa benar yang dikatakan Zara petang tadi. Dan ternyata benar. Hakimi Mukhriz sudah membuang dia jauh dari kehidupannya. Jadi, untuk apa lagi dia menanti orang yang sudah pasti takkan pernah menjadi miliknya?
Mulai malam itu, Ain nekad. Hakimi Mukhriz harus dibuang dari ingatan. Tiada sebab dia harus menantinya lagi. Sayangnya pada Hakimi kini sudah bertukar benci. Benci pada lelaki yang suka mempermainkan hati. Hakimi tidak layak mempersendakan cintanya.
Dari hari berganti minggu. Ain sudah dapat menerima hakikat bahawa antara dia dan Hakimi tiada jodoh untuk bersama. Perlahan-lahan dia melepaskan rasa benci yang suatu ketika dulu pernah menebal dalam hatinya. Untuk apa dipaksa cinta yang takkan pernah menjadi miliknya?
Ain menyedari banyak perkara. Selama ini, dia terlalu mengejar cinta manusia tanpa menyedari cintanya pada Allah telah lama diabaikan. Ingatannya pada Hakimi melebihi dari ingatannya pada Allah S.W.T. Ain menangis dalam sujudnya. Terlalu hina diri dirasakan. Sudah terlalu banyak dosa yang dilakukan. Ain pernah tersilap langkah. Tapi Allah tidak membiarkannya bersendirian.
Bersungguh-sungguh Ain menadah tangan memohon keampunan dari-Nya. Masa-masa yang ada diluangkan dengan menghabiskan membaca buku-buku agama. Mendengar alunan kalimah Allah. Menjadikan al-Quran teman yang setia. Semua itu dilakukan demi mencari ketenangan. Dan dia bersyukur kerana kekosongan yang dia rasakan selama ini semakin terisi. Tiap kali hatinya dibelenggu resah, dia lebih banyak mengingati Allah.
Sudah lama Ain menyepi. Semalam dia menelefon Zara. Dia merindukan sahabat karibnya itu. Mereka berjanji untuk berjumpa hari ini. Hati Ain berdebar-debar. Entah kenapa dia berasa gelisah.
Ain memarkir kereta. Zara belum lagi menghubunginya. Batang hidung Zara juga masih belum kelihatan. Tanpa disedari, ada sepasang mata yang melihat Ain dari jauh. Cuma, empunya mata itu belum berani untuk munculkan diri. Belum lagi masanya. Tapi sungguh. Hatinya terpaut melihat Ain. Walau hanya berbaju kurung, terserlah keayuan yang dimiliki. Hatinya kembali bergetar.
Ain hanya berdiri di sisi keretanya. Tiba-tiba datang sebuah kereta Viva memarkir di sebelah kereta Ain. Belum sampai beberapa minit, empunya kereta keluar.
“Ain …” Zara memanggil.
“Zara ...”
“Ya Allah. Ni bidadari baru turun dari kayangan ke? Cantiknya kawan aku ni. Dah lama kita tak jumpa, aku rindu kau tahu.”
Mereka berbalas pelukan.
“Memandai aje kau. Aku pun rindukan kau Zara. Aku ada je. Kau tu yang sibuk sangat sampai aku ni pun kau lupakan.” Kata Ain dengan nada merajuk.
“Amboi.. Kawan aku sorang ni dah pandai touching touching pula.” Zara bergurau. Mereka sama-sama ketawa. Ain sudah banyak berubah. Ain yang sekarang sudah jauh berbeza berbanding Ain yang dulu. Sejuk matanya melihat Ain berpakaian lengkap seorang muslimah. Tudung labuh yang disarungkan, membuatkan Ain nampak berbeza. Cantik!
“Kau dah banyak berubah Ain.” Zara mengukirkan satu senyuman yang penuh makna. Ain bijak mengambil langkah selepas apa yang pernah terjadi padanya. Dia bangga dengan Ain.
“Alhamdulillah. Allah masih sayangkan aku. Dia tak biarkan aku bersendirian. Dia buka pintu hati aku Zara. Selama ni, aku dah terlalu jauh tersasar dari jalan-Nya. Hidup aku tak tenang. Tapi sekarang, aku bahagia. Dia ambil Hakimi dari aku. Tapi digantikan dengan kebahagiaan yang tak pernah aku rasakan selama ni.” Ain menyeka air mata yang mula berlinangan.
Zara tersentuh mendengar kata-kata Ain. Semuanya kerana cinta. Kerana cinta, Ain pernah terleka. Kerana cinta, Ain lupa. Tapi kerana cinta, kini dia meraih bahagia. Semoga Allah akan terus memberkati sahabat baiknya.
“Err .. Hakimi ada cari kau tak?” Tiba-tiba Zara bertanya.
“Hmm .. Pernah juga dia call aku beberapa kali. Tapi aku tak pernah layan. Ish, malas aku nak ingat pasal dia. Kenapa kau tanya?”
“Mungkin sebab tu lah dia cari aku. Dia cari kau Ain.”
Ain mengerutkan keningnya. “Buat apa dia nak cari aku lagi?” Tegas suara Ain.
“Ain Azwani …” Tiba-tiba kedengaran satu suara dari belakang Ain. Dia menoleh dan alangkah terkejutnya dia bila melihat Hakimi berada di hadapannya.
“Hakimi …”
Bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Satu persatu soalan muncul di fikirannya. Dia menjatuhkan pandangan ke arah Zara meminta penjelasan.
“Maafkan aku Ain. Hakimi beria-ia nak jumpa kau.”
Belum habis Zara menghabiskan kata-katanya, Hakimi pula mencelah.
“Jangan salahkan dia Ain. Saya yang paksa Zara. Saya nak jumpa awak. Banyak yang saya nak cakap. Bagi saya lima minit. Please Ain .. Listen to me.” Hakimi merayu.
Ain memandang Zara.
"Tak apa. Zara, you can stay here." Kata Hakimi seolah-olah memahami pandangan Ain pada Zara. Dia faham. Ain pasti tidak mahu ditinggalkan berdua-duaan dengannya. Dia mengerti dan dia tidak kisah jika Zara ada bersama mereka.
“Listen for what Hakimi Mukhriz? Past is past. Saya dah lama maafkan awak. Saya dah bahagia sekarang. Untuk apa lagi awak cari saya?” Dia cuba bersikap tenang. Baginya, sudah tidak ada apa-apa lagi penjelasan yang dia perlu dengar dari Hakimi. Ain tidak mahu mengenangkan kisah lalu lagi.
“Bagi saya peluang untuk tebus kesalahan saya Ain. Saya tahu saya yang salah. Tapi saya dah sedar sekarang. Maafkanlah saya.”
“Peluang apa yang awak maksudkan Hakimi? Kesalahan apa yang awak nak tebus? Dahlah. Tolong jangan ungkit kisah lama boleh tak?” Ain meninggikan suara. Dia tahu perasaannya mula berkecamuk. Tiba-tiba kenangan lalu menerjah kembali kotak memorinya.
“Saya tak nak kehilangan awak Ain Azwani. Awak cinta pertama saya.”
Ain memejam rapat matanya. Air mata yang dari tadi bertakung, jatuh jua akhirnya.
“Enough Hakimi Mukhriz! Lima minit yang awak minta dah habis. Saya dah lama maafkan awak. Dan saya dah lupakan semuanya. So, please. Jangan cari saya lagi.” Ain pantas menarik tangan Zara dan membiarkan Hakimi terkontang-kanting tinggal bersendirian.
“Ain, Ain ...!” Panggilan Hakimi tidak diendahkan. Mereka terus berlalu meninggalkannya.
Zara memberi cadangan untuk singgah di sebuah warung berdekatan. Ain perlu menenangkan diri.
“Ain, kau okey tak?” Zara bertanya kerana sepanjang dalam perjalanan, Ain hanya berdiam diri. Risau juga dia kalau Ain marah.
“Aku okey. Kau jangan risau.” Ain memberitahu. Dia tidak mahu Zara risau. Dia hanya mahu tenangkan diri. Pertemuannya dengan Hakimi memang mengejutkan. Dia tidak sangka boleh bersua lagi dengan Hakimi.
“Ain, maafkan aku. Kalau bukan sebab aku, mesti semua ni tak jadi.” Zara menyalahkan diri.
“Takpe Zara. Benda dah berlaku. Tapi, macamana si Hakimi boleh ada dekat situ?”
Zara mengimbau peristiwa kelmarin.
“Kau tolonglah aku Zara. Aku nak jumpa Ain.” Rayu Hakimi.
“Buat apa kau nak jumpa dia Hakimi? Nak sakitkan hati dia? Eh, sudah-sudahlah tu Hakimi. Boleh tak kalau kau jangan ganggu hidup dia lagi? Dia dah move on pun. Aku pantang betul dengan lelaki yang suka mainkan hati perempuan ni.” Marah betul Zara bila Hakimi cuba mencari Zara kembali. Dia tahu Ain baru sahaja pulih dari kelukaan. Dia tidak mahu gara-gara Hakimi, luka lama di hati Ain berdarah kembali.
“Aku mengaku aku salah. Tapi bagilah peluang pada aku Zara. Aku dah sedar sekarang. Ain terlalu bermakna dalam hidup aku.”
“Senangnya kau cakap. Habis tu si Atiqah kekasih tercinta kau tu macamana? Takkan dah putus juga kot?” Sindir Zara. Kerana gadis bernama Atiqah itulah Hakimi tinggalkan Ain. Zara sudah sedia maklum bahawa Hakimi memang pernah berlaku curang dengan Ain. Bukan sekali dua. Tapi berkali. Setiap kali Hakimi ketahuan curang, setiap kali itu jugalah dia akan kembali mencari Ain. Dengan Atiqah ini berbeza pula. Hakimi lebih memilih untuk bersama Atiqah. Dan Ain ditinggalkan begitu saja.
“Aku dengan Atiqah dah berpisah. Panjang ceritanya. Entahlah. Aku malas nak ingat. Tak ada jodoh. Please Zara. At least bagi peluang pada aku untuk minta maaf dengan dia. Ain terlalu bermakna untuk aku Zara.” Hakimi nekad. Dia mahu berjumpa Ain. Kesalahan yang lalu perlu ditebus semula. Ain sudah banyak menderita kerananya.
Zara tidak tahu apa dia harus membenarkan Hakimi berjumpa Ain atau tidak. Tapi melihatkan Hakimi, dia tahu Hakimi jujur. Mungkin dia patut memberi peluang pada Hakimi. Selebihnya, terpulang pada Ain untuk membuat keputusan.
“Jadi, Hakimi memang ada dekat situ sebelum aku datanglah ye?” Soal Ain selepas mendengar cerita Ain.
Zara hanya mengangguk. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Hakimi.
“Siapa? Hakimi?” Teka Ain bila dia melihat Zara tidak mengangkat panggilan tersebut.
“Zara, kalau kau sayangkan aku. Please. Jauhkan Hakimi dari aku. Cukup-cukuplah dengan apa yang dah jadi. Kau suruhlah dia lupakan aku macamana aku lupakan dia. Antara aku dengan dia memang tak ada jodoh.”
(bersambung)
No comments:
Post a Comment