“Jangan cintakan orang yang tidak cintakan Allah, kerana jika mereka boleh tinggalkan Allah, mereka juga boleh tinggalkan kita.”
Ain memandang telefon bimbitnya. Tiada panggilan mahupun pesanan. Mungkin Hakimi sudah berjaya melupakannya dan sedang berbahagia dengan Atiqah. Argh! Kenapa dia masih mahu memikirkan lelaki itu sedangkan Hakimi langsung tidak mengendahkannya. Kenapa hati ini masih degil mengharapkan lelaki itu?
“Dahlah Ain. Tak payahlah kau ingatkan lagi si Hakimi tu. Aku pun naik menyampah tengok gambar dorang yang berkepit dalam facebook tu kau tahu? Meluat betul aku tengok muka si Hakimi. Ikutkan hati aku ni, nak je aku sepak-sepak si Hakimi Mukhriz tu. Eee!” Marah benar Zara dengan lelaki bernama Hakimi itu. Bagi Zara, Ain terlalu berlembut dengan Hakimi. Dia sendiri tidak faham. Biarpun sudah berkali ditipu Hakimi, masih saja Ain memaafkan lelaki yang berlidah cabang itu.
Dengan tidak semena-mena, hati Ain berdegup dengan pantas bila Zara tiba-tiba bercakap mengenai gambar. Air mukanya mula berubah.
“Gambar?” Ain menyoal.
“Ye gambar dorang. Kau tak nampak ke?” Zara menyoal kembali.
Ain hanya menggeleng. “Aku block dorang. Aku benci.” Ujar Ain berterus terang. Dia tidak tahu dia harus membenci siapa. Hakimi atau Atiqah. Mungkin kedua-duanya sekali. Atau dia sendiri yang bersalah kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa Hakimi lebih memilih Atiqah.
“Kau tak faham Zara. Hakimi cinta pertama aku. Kenangan antara kami yang membuatkan aku susah untuk buang dia dari hidup aku.”
“Kenangan apa Ain? Yang aku nampak, kau ni dah jadi hamba kepada cinta. Sanggup biarkan diri disakiti berkali-kali. Ini ke cinta yang kau maksudkan? Kalau cinta, sepatutnya saling memahami. Bukan menyakiti.” Zara mahu membantu sahabatnya. Dia tidak sanggup melihat Ain terus-terusan mengharapkan cinta yang sia-sia.
“Hakimi kata dia masih sayangkan aku.”
“Apa kau kata? Sayang? Kalau sayang, Atiqah tu macamana? Itupun sayang kan? Habis tu, kalau si Hakimi tu ada 3 orang perempuan lagi yang sayangkan dia. Kau masih harapkan dia juga ke? Kenapa kau nak bodohkan diri kau demi dia Ain. Dah sampai masanya kau kena move on.”
“Ada beza antara pengorbanan dan kebodohan Ain. Kau fikirkanlah.” Sambung Zara
(bersambung)
No comments:
Post a Comment